Monday 5 December 2011

Blogger Umno sertai KEADILAN


KUALA LUMPUR: Seorang blogger yang juga ahli Umno, Musli Oli bertindak keluar parti seterusnya menyertai KEADILAN.

Dalam satu kenyataan, Musli berkata, beliau meninggalkan Umno kerana parti itu gagal memperjuang antaranya hak royalti minyak untuk rakyat Sabah.

Umno juga katanya hanya mendendangkan lagu pembangunan walhal krisis sosial, ekonomi dan pengangguran kekal membelenggu rakyat Sabah.

“Jika ada 100 belia dari Sabah yang berkelayakan mencari pekerjaan  ke tanah Semenanjung, di manakah mereka bekerja?

“Peluang hanya mampu dapat kerja sebagai GRO, tukang urut di Bukit Bintang atau kerja Kilang di Sungai Way,” kenyataan beliau dipetik.

Borang penyertaan Musli bersama sekumpulan penyokongnya ke dalam KEADILAN dibuat di Cabang Kota Belud sempena lawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim di kawasan itu.

Selain menjadi ahli Umno di bahagian Kota Belud, Musli juga ialah bekas Yang Di Pertua (YDP) Pertubuhan Peribumi Perkasa Negara (Perkasa), sebuah NGO pro Umno dan penulis buku.

Penyertaan beliau ke dalam KEADILAN sekaligus memberi tamparan hebat kepada Ahli Parlimen Umno Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang kerap menyerang peribadi Anwar semasa sesi perbahasan di Parlimen sebelum ini.

http://www.keadilandaily.com/blogger-umno-sertai-keadilan/

Peneroka Umno gugusan Chini 3 saman Felda


KUALA LUMPUR: Selepas berhadapan kontroversi Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menghambur kata-kata kesat kepada peneroka, kini giliran agensi kerajaan itu pula menerima surat saman daripada peneroka.

Menurut Pengerusi Biro Felda dan Orang Asal KEADILAN, Suhaimi Said, tindakan menyaman Felda itu ekoran peneroka-peneroka dari Gugusan Keratong dan Gugusan Chini 3 tidak berpuas hati kerana mendakwa agensi itu memanipulasikan Kadar Perahan Gred (KPG).

“Seramai 380 peneroka dari gugusan Felda Keratong dan 690 peneroka daripada gugusan Felda Chini 3 menyerahkan borang Warrant To Act melantik peguam-peguam dari Tetuan Daim & Gamany, Kuala Lumpur untuk menyaman Felda kerana manipulasi KPG.

“Mereka hanya diberikan di antara 18 peratus hingga 19 peratus sahaja peratusan perahan KPG, suatu pengiraan yang sangat rendah dan tidak berpandu kepada realiti sebenar,” kata Suhaimi dalam satu kenyataan.

Katanya, daripada sejumlah peneroka yang menyaman Felda itu sebahagiannya ahli Umno yang sedar akan hak mereka.

“Mereka hanya menuntut hak mereka dinafi dan dimanipulasikan oleh Felda.
Menariknya di Chini 3 sebahagian besar dari kalangan yang mahu memfailkan saman terhadap Felda itu terdiri daripada ahli-ahli Umno.

“Mereka tidak mendapat pembelaan dari Umno, dan mereka memberi jawapan kepada Umno dengan bersama-sama menyertai peneroka-peneroka lain mahu memfailkan saman terhadap Felda,” kata beliau.

http://www.keadilandaily.com/peneroka-umno-gugusan-chini-3-saman-felda/