Thursday 22 December 2011

Pinjaman Bank Dunia dipohon Mahathir selaku pengerusi MTEN


KUALA LUMPUR 21 Dis: KEADILAN sekali lagi mendedahkan pembohongan  bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang hari ini mendakwa tidak pernah memohon pinjaman daripada Bank Dunia.

Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, Mahathir meneruskan pembohongan itu dengan menulis kononnya rundingan terakhir dibuat pada 1997, dengan niat untuk mensabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan permohonan pinjaman berkenaan.
“Hakikatnya adalah berbeza dan ini disahkan oleh dokumen-dokumen Kerajaan Malaysia dan Bank Dunia,” kata Rafizi dalam satu kenyataan.

Beliau merujuk dokumen permohonan untuk pinjaman sebanyak USD404 juta daripada Bank Dunia yang dibuat atas arahan Dr Mahathir sendiri selaku Pengerusi National Economic Action Council (NEAC) atau Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Laporan Awal Permohonan Pinjaman itu menjelaskan tujuan permohonan pinjaman untuk membiayai Pelan Pemulihan Ekonomi Negara (NERP) yang diumumkan Julai 1998.
“Permohonan juga dibuat oleh kerajaan Malaysia, bukannya ditawarkan oleh Bank Dunia seperti yang didakwa Tun Mahathir,” kata Rafizi.

Katanya, NEAC diputuskan oleh Pengarah Eksekutif nya  iaitu Tun Daim Zainuddin, Menteri Tugas-tugas Khas yang dilantik oleh Mahathir.

Manakala Setiausaha NEAC adalah Ketua Pengarah, Unit Perancang Ekonomi (EPU) yang bertanggungjawab penuh kepada  perdana menteri ketika itu.

“Maka, jelas terbukti bahawa permohonan mendapatkan bantuan kewangan dari Bank Dunia dibuat oleh NEAC bagi pihak Kerajaan Malaysia untuk membiayai NERP yang dilancarkan dalam bulan Julai 1998. NEAC dikawal sepenuhnya oleh Tun Mahathir Mohamad,” kata Rafizi.
Laporan Penilaian Permohonan Pinjaman menyebut tarikh-tarikh penting iaitu permohonan itu mula-mula diterima dari Kerajaan Malaysia pada 26 Julai 1998

Manakala Pasukan penilai dari Bank Dunia pula berlepas ke Malaysia pada 30 November 1998, dan rundingan hanya bermula 1 Februari 1999.

“Bukan sahaja permohonan dibuat oleh NEAC mengikut arahan Tun Mahathir Mohamad, malah kesemua proses rundingan berlaku selepas Dato’ Seri Anwar Ibrahim sudah pun dipenjarakan,” tegasnya.

//www.keadilandaily.com/

Skandal NFC: SPRM diingat tidak tunduk pada Umno-BN



KUALA LUMPUR 22 Dis : KEADILAN menggesa Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) tidak tunduk dengan tekanan Kerajaan Umno-BN dalam menyiasat skandal membabitkan National Feedlot Corporation (NFC).

Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail, berkata, ini adalah masanya SPRM mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap kredibiliti mereka dalam membanteras rasuah.

“SPRM tidak perlu takut dan tunduk dengan tekanan politik mereka (Umno-BN),” katanya mengulas langkah  SPRM menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes yang dikaitkan dengan keluarga menteri, Datuk Seri Shahrizat Jalil itu.

Disamping mengalu-alukan langkah pro-aktif yang diumumkan, KEADILAN turut berharap agensi itu menjalankan siasatan segera.

“Siasatan boleh dijalankan dengan segera kerana kita yakin semua maklumat yang diberikan KEADILAN adalah lengkap dan cukup kuat bagi membantu siasatan dan seterusnya membuat tindakan,” kata Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang.

Semalam KEADILAN membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM Shah Alam bagi menyiasat penyelewengan NFC yang melibatkan dana sebanyak RM250 juta.

Laporan tersebut menjurus kepada kerugian dialami NFC dan penyelewengan wang termasuk pembelian dua unit kondominium mewah di Bangsar dan pembiayaan percutian keluarga Shahrizat ke luar negara.
Selain itu, NFC juga sebelum ini didedahkan membeli kereta mewah jenis Mercedes Benz berharga RM534,622 serta dua bidang tanah bernilai RM3,363,507 di Putrajaya.

Terbaru, keluarga Shahrizat turut didakwa membeli kondominium mewah berharga RM9.9 juta di Singapura, yang turut disyaki menggunakan wang NFC
.
 www.keadilandaily.com/