Semester baru sudah dibuka. Saat melalui sebuah universiti, terlihat
beberapa penuntut melangkah menuju ke kuliah masing-masing bagi
memulakan sesi pengajian yang baru. Saat itu, terpandang juga seorang
remaja perempuan yang berusaha menghayunkan kerusi rodanya untuk turut
tidak mahu ketinggalan bersama-sama menuntut pelajaran.
Saat itu juga, terfikir seketika bagaimana perasaan mereka saat pertama
kali melangkahkan kaki ke universiti atau mana-mana institusi pengajian
bersendirian dan berjauhan daripada ibu bapa masing-masing. Pasti
selaku ibu bapa, mereka bimbangkan anak istimewa itu, lebih-lebih lagi
apabila tidak berada di hadapan mata. Akan tetapi, tanpa dorongan yang
kuat daripada ibu bapa, rakan dan masyarakat, mungkin mereka juga tidak
dapat melangkah jauh mengejar cita-cita.
Bagi penuntut Diploma Pengajian Perniagaan, Politeknik Sultan
Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), Firdaus Warni, 18, sebagai OKU,
kekurangan tersebut tidak dijadikan sebagai halangan untuknya terus
menyambung pengajian ke peringkat yang lebuh tinggi.
“Saya bercita-cita untuk menjadi seorang usahawan sejak dari dulu lagi.
Sebab itu saya mengambil kursus ini. Selaku penuntut baru, apa sahaja
halangan yang bakal saya hadapi sepanjang pengajian saya akan anggap ia
sebagai perkara biasa dalam menjalani kehidupan,” katanya yang mengalami
kecacatan kaki sejak di sekolah rendah kerana penyakit saraf
motor-sensory neuropathy.
Menurut Firdaus lagi, dia berasa sangat bersyukur kerana masih diterima
untuk menyambung pengajian di peringkat diploma. Jika diberi peluang
lagi, akan datang Firdaus ingin menyambung pengajian di peringkat ijazah
pula.
“Saya tidak akan berhenti untuk terus menyambung pengajian saya di
peringkat yang lebih tinggi. Ibu bapa saya tidak menghalang cita-cita
ini, malah memberi sokongan sepenuhnya kepada saya. Pada asalnya ibu
memang agak risau untuk melepaskan saya, tapi setelah meyakinkannya,
barulah ibu melepaskan saya untuk menyambung pengajian.
“Tambahan pula, inilah pertama kali saya tinggal berjauhan bersama
keluarga, dan peluang sebegini saya gunakan sepenuhnya untuk hidup
berdikari. Andai ada sebarang masalah, pihak warden asrama akan bantu
menghubungi ibu bapa saya,” kata Firdaus lagi.
Firdaus akan ke kelasnya dengan menaiki basikal dan berjalan
menggunakan tongkat. Melihatkan sinar matanya, jelas menunjukkan Firdaus
seorang yang cekal dan tabah mengharungi ujian diberikan kepadanya ini.
Bagi seorang lagi penuntut masalah pendengaran dari PSA, Ismail Mohd,
20, kursus kemahiran penyelenggaraan mekanikal yang disediakan khas
untuk penuntut sepertinya, digunakan sepenuhnya untuk dia menyambung
pengajian.
Juga merupakan kali pertama Ismail berjauhan daripada keluarga, dia
sangat berpuas hati kerana dapat menyambung pengajian sekali gus
memperoleh sijil untuknya meneruskan cita-cita dalam bidang pembuatan
kereta.
“Ibu bapa saya menggesa untuk belajar di sini. Pada asalnya memang rasa
terpaksa, tapi mungkin mereka mahu saya hidup berdikari tanpa
mengharapkan bantuan mereka sepenuhnya. Mungkin juga tanpa desakan ini,
saya tidak akan dapat mengejar cita-cita dan menjadi seorang yang
berjaya.
“Memang tidak dapat dinafikan kadangkala ada juga rasa rindu terhadap
ibu bapa. Sedih juga sebab mereka hanya tinggal berdua sahaja di rumah.
Tapi disebabkan saya menumpukan sepenuh perhatian pada pelajaran, segala
kerinduan dan kesedihan saya tolak tepi,” kata Ismail yang menggunakan
bahasa isyarat.
Kata Ismail, bagi mengubati rindunya, dia akan menggunakan perkhidmatan
pesanan ringkas (SMS) atau menghubungi melalui 3G untuk berhubung
dengan keluarganya. Dengan adanya perkhidmatan sedemikian, duduk
berjauhan daripada keluarga yang berada di Terengganu bukan lagi
penghalang untuknya menuntut dan hidup berdikari.
Ismail juga tidak perlu risau kerana sepanjang pengajian, dia sentiasa
ditemani rakan-rakan sekelas yang juga senasib dengannya. Malah, andai
Ismail ingin menyertai aktiviti kokurikulum, terdapat aktiviti khas yang
disediakan oleh persatuan cacat pendengaran di institusinya.
Selain itu, Ismail juga tidak mempunyai masalah untuk bergaul bersama
rakan yang normal kerana dia masih boleh mendengar dan memahami sedikit
percakapan rakannya terutama yang rapat dengannya. Hubungan kuat bersama
rakan senasib yang akrab membantunya mengharungi hari-hari mendatang.
http://www.sinarharian.com.my/komentar/oku-juga-boleh-berjaya-1.10531?localLinksEnabled=false