Friday 23 December 2011

Jamil Khir khianati orang miskin, golongan layak terima zakat



KUALA LUMPUR 23 Dis: Perbuatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Bahrom menggunakan wang zakat, mengkhianati golongan asnaf yang sepatutnya menerima agihan wang berkenaan, kata Pengerusi Brio Pemahaman dan Pemantapan Agama, Ahmad Kassim.
Beliau mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang mengesahkan wang zakat berjumlah RM63,650 digunakan Jamil dan dua lain bagi menghalang kes qazaf yang di failkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Wang zakat itu dibayar kepada firma guaman Zainul Rijal Talha dan Amir bagi mewakili Jamil, pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali dan ketua pendakwanya, Shamsuddin Hussain, sebagai responden.

“Seleweng wang zakat ini bukti Menteri Umno dan dua yang lain menyalahgunakan kuasa mereka dan saya tegaskan firma guaman yang menerima wang zakat itu tidak termasuk dalam senarai yang sepatutnya menerima zakat,” katanya.

Lapan golongan yang layak itu hanyalah fakir, miskin, Amil (mereka yang dilantik memungut zakat), Muallaf (Seseorang yang memeluk Islam, Riqab (orang yang tidak mempunyai kebebasan), Gharimin (penghutang muslim), Fisabillillah (pejuang Islam) dan Ibnus Sabil (musafir).

Katanya lagi, Jamil yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama Islam, sememangnya berniat menggunakan wang zakat demi kepentingan mereka dan tahu firma guaman yang dilantik itu tidak termasuk golongan yang layak menerima zakat.

Wang itu katanya, hanya dibayar semula selepas Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerima geran RM700,000 pada Jun 2010.
“Apabila Datuk Jamil guna wang zakat dan akan bayar balik seperti mana didedahkan dalam surat jawapan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) itu, maknanya mereka tahu bahawa guna wang zakat itu salah.

“Kalau sudah tahu, mengapa guna juga wang itu dan kita yakin kalau kita tidak dedah penyelewengan ini, belum tentu wang zakat itu dapat balik,” katanya dihubungi Keadilandaily.com.

:://www.keadilandaily.com/


Adam Adli buat laporan ugutan ditumbuk anggota polis




KUALA LUMPUR 23 Dis: Adam Adli, pemimpin mahasiswa yang menurunkan bendera Datuk Seri Najib Razak membuat laporan terhadap angota polis yang mengugut untuk memukul beliau di Bukit Aman beberapa hari lalu.

Beliau cuba ditumbuk polis berpakaian biasa itu sewaktu membuat laporan ugutan bunuh terhadapnya, selepas menurunkan bendera Datuk Seri Najib Razak di Ibu Pejabat Umno, 17 Disember lalu.

Beliau ditemani peguam Fadiah Nadwa Fikri dan beberapa pimpinan mahasiswa yang lain di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.
Fadiah yang juga peguam dari NGO Lawyers for Liberty menggesa agar tindakan segera diambil terhadap anggota polis yang mengugut untuk menumbuk mahasiswa  Universiti Perguruan Sultan Idris itu.

Menurutnya, polis itu yang berpakaian biasa dicam dan dikenali sebagai Roslan Mokhtar.
“Adam memberi keterangan berkenaan insiden beliau cuba ditumbuk seorang anggota polis, tanpa dihalang anggota-anggota polis yang lain.

“Kita akan lihat sama ada anggota polis yang terlibat, Roslan Mokhtar, akan diambil tindakan kerana ia begitu jelas terdapat ugutan daripada pihak yang berkuasa.

“Kita akan lihat sama ada akan ada yang meneruskan intimidasi terhadap pelajar ini yang berarak dan melaksanakan hak mereka di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan,” kata Fadiah.

 : http://www.keadilandaily.com/

KEADILAN: Tindakan UPSI terhadap Adam Adli tak berasas




KUALA LUMPUR 23 Dis: KEADILAN menyelar tindakan dan tekanan yang dilakukan pentadbiran Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) terhadap mahasiswanya, Adam Adli yang mencetuskan kontroversi kerana menurunkan bendera Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.

Ia berikutan surat dikeluarkan pihak universiti itu yang mendakwa Adam di bawah dua pertuduhan iaitu merosakkan nama universiti dan memberi ancaman kepada ketenteraman awam.

“Kedua-dua pertuduhan adalah tidak berasas, tidak berperlembagaan, tidak sah dan jelas tidak masuk akal. Dalam tindakan Adam menurunkan bendera Perdana Menteri, beliau hanya menjalankan haknya dalam kebebasan bersuara dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan,” kata Naib Presiden KEADILAN, N Surendran.

Menurutnya, Adam tidak melakukan kesalahan undang-undang malah harus dipuji kerana mempunyai pendirian yang berani untuk memperjuangkan autonomi di institusi pengajian tinggi.
“UPSI tidak mempunyai hak untuk menghalang Adam daripada menjalankan hak-hak sivil beliau sebagai warganegara,”

“Tindakan Adam merupakan bantahan yang sah dan demokratik terhadap kegagalan Najib bagi memastikan pelajar mendapat kebebasan akademik dengan memansuhkan AUKU,”  katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Justeru, kami menyeru kepada UPSI dengan serta-merta menggugurkan semua tindakan disiplin
yang dikenakan terhadap Adam serta menuntut Najib melakukan pembaharuan besar agar mahasiswa dapat mepertahankan kebebasan akademik di dalam negara,” katanya.

Adam menerima surat panggilan ke jawatan kuasa disiplin dari UPSI hari ini, gara-gara menurunkan bendera Najib di Ibu Pejabat Umno pada 17 Disember lalu.
Beliau dipanggil untuk hadir ke pendengaran jawatankuasa universiti tersebut 19 Januari depan.

 ://www.keadilandaily.com/