Wednesday 7 December 2011

OKU juga boleh berjaya

oku

Semester baru sudah dibuka. Saat melalui sebuah universiti, terlihat beberapa penuntut melangkah menuju ke kuliah masing-masing bagi memulakan sesi pengajian yang baru. Saat itu, terpandang juga seorang remaja perempuan yang berusaha menghayunkan kerusi rodanya untuk turut tidak mahu ketinggalan bersama-sama menuntut pelajaran.

Saat itu juga, terfikir seketika bagaimana perasaan mereka saat pertama kali melangkahkan kaki ke universiti atau mana-mana institusi pengajian bersendirian dan berjauhan daripada ibu bapa masing-masing. Pasti selaku ibu bapa, mereka bimbangkan anak istimewa itu, lebih-lebih lagi apabila tidak berada di hadapan mata. Akan tetapi, tanpa dorongan yang kuat daripada ibu bapa, rakan dan masyarakat, mungkin mereka juga tidak dapat melangkah jauh mengejar cita-cita.

Bagi penuntut Diploma Pengajian Perniagaan, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), Firdaus Warni, 18, sebagai OKU, kekurangan tersebut tidak dijadikan sebagai halangan untuknya terus menyambung pengajian ke peringkat yang lebuh tinggi.

“Saya bercita-cita untuk menjadi seorang usahawan sejak dari dulu lagi. Sebab itu saya mengambil kursus ini. Selaku penuntut baru, apa sahaja halangan yang bakal saya hadapi sepanjang pengajian saya akan anggap ia sebagai perkara biasa dalam menjalani kehidupan,” katanya yang mengalami kecacatan kaki sejak di sekolah rendah kerana penyakit saraf motor-sensory neuropathy.

Menurut Firdaus lagi, dia berasa sangat bersyukur kerana masih diterima untuk menyambung pengajian di peringkat diploma. Jika diberi peluang lagi, akan datang Firdaus ingin menyambung pengajian di peringkat ijazah pula.

“Saya tidak akan berhenti untuk terus menyambung pengajian saya di peringkat yang lebih tinggi. Ibu bapa saya tidak menghalang cita-cita ini, malah memberi sokongan sepenuhnya kepada saya. Pada asalnya ibu memang agak risau untuk melepaskan saya, tapi setelah meyakinkannya, barulah ibu melepaskan saya untuk menyambung pengajian.

“Tambahan pula, inilah pertama kali saya tinggal berjauhan bersama keluarga, dan peluang sebegini saya gunakan sepenuhnya untuk hidup berdikari. Andai ada sebarang masalah, pihak warden asrama akan bantu menghubungi ibu bapa saya,” kata Firdaus lagi.

Firdaus akan ke kelasnya dengan menaiki basikal dan berjalan menggunakan tongkat. Melihatkan sinar matanya, jelas menunjukkan Firdaus seorang yang cekal dan tabah mengharungi ujian diberikan kepadanya ini.

Bagi seorang lagi penuntut masalah pendengaran dari PSA, Ismail Mohd, 20, kursus kemahiran penyelenggaraan mekanikal yang disediakan khas untuk penuntut sepertinya, digunakan sepenuhnya untuk dia menyambung pengajian.

Juga merupakan kali pertama Ismail berjauhan daripada keluarga, dia sangat berpuas hati kerana dapat menyambung pengajian sekali gus memperoleh sijil untuknya meneruskan cita-cita dalam bidang pembuatan kereta.

“Ibu bapa saya menggesa untuk belajar di sini. Pada asalnya memang rasa terpaksa, tapi mungkin mereka mahu saya hidup berdikari tanpa mengharapkan bantuan mereka sepenuhnya. Mungkin juga tanpa desakan ini, saya tidak akan dapat mengejar cita-cita dan menjadi seorang yang berjaya.

“Memang tidak dapat dinafikan kadangkala ada juga rasa rindu terhadap ibu bapa. Sedih juga sebab mereka hanya tinggal berdua sahaja di rumah. Tapi disebabkan saya menumpukan sepenuh perhatian pada pelajaran, segala kerinduan dan kesedihan saya tolak tepi,” kata Ismail yang menggunakan bahasa isyarat.

Kata Ismail, bagi mengubati rindunya, dia akan menggunakan perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) atau menghubungi melalui 3G untuk berhubung dengan keluarganya. Dengan adanya perkhidmatan sedemikian, duduk berjauhan daripada keluarga yang berada di Terengganu bukan lagi penghalang untuknya menuntut dan hidup berdikari.

Ismail juga tidak perlu risau kerana sepanjang pengajian, dia sentiasa ditemani rakan-rakan sekelas yang juga senasib dengannya. Malah, andai Ismail ingin menyertai aktiviti kokurikulum, terdapat aktiviti khas yang disediakan oleh persatuan cacat pendengaran di institusinya.

Selain itu, Ismail juga tidak mempunyai masalah untuk bergaul bersama rakan yang normal kerana dia masih boleh mendengar dan memahami sedikit percakapan rakannya terutama yang rapat dengannya. Hubungan kuat bersama rakan senasib yang akrab membantunya mengharungi hari-hari mendatang.

http://www.sinarharian.com.my/komentar/oku-juga-boleh-berjaya-1.10531?localLinksEnabled=false

No comments:

Post a Comment